Assalamualaikum...

Terima kasih kerana sudi berkongsi coretan saya di halaman ini.

Isnin, 22 Oktober 2012

BUKAN SENANG NAK SENANG

      Siapa yang suka susah? Pergilah ke seluruh pelusuk dunia ini dan cari orang yang kata suka hidup susah. Tak ada. Tak mungkin wujud orang yang begitu.Tapi ada orang yang menolak kemewahan. Tidak mahu taksub kepada duniawi. Tak ramai. Hidupnya diabadikan untuk ukhrawi. Alhamdulillah. Kalaulah aku tersenarai dalam kumpulan ini, alangkah nikmatnya. Tak perlu fikir berat2 macam mana nak tambah itu. Nak tokok ini. Aduhai....nafsu semuanya.

      Pernah aku dengar sewaktu masih di bangku sekolah, kata2 hikmah oleh guruku. "Bukan senang nak senang". Aku hanya mendengar tanpa menghayatinya. Masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Macam angin lalu begitu saja. Mungkin di kala itu fikiran aku terlalu mentah. Bagi aku kata2 seperti itu tak lebih daripada hanya satu ungkapan. Tak berapa nak menyelinap ke dasar hati aku.

     Kini aku mengenang kembali kata2 guruku itu. Benar. Bukan senang nak senang. Walaupun aku tidaklah menempuh dugaan yang amat berat setakat ini. Tapi untuk sampai ke hari ini, dengan kehidupan yang aku miliki sekadarnya ini, kepada Tuhan saja aku mengucap syukur. Jika tiada kesabaran yang dianugerahkan Allah kepada aku, nescaya aku tidak seperti hari ini. Bukanlah berjaya sangat tapi cukuplah untuk membantu suamiku meringankan tanggungan keluarga. Alhamdulillah.

     Pernah juga aku rasa nak give up bila terlampau buntu nak selesaikan sesuatu perkara terutama semasa melaksanakan tugasan. Tak ada orang boleh tolong. Terkial-kial aku sendirian. Bagusnya tak pernah pulak aku menangis walau seberat mana masalah aku hadapi. Aku cekalkan hati. Buat dulu setakat yang mampu. Kalau rasa stuck sangat aku berhenti dulu. Bila dah ok sikit aku sambung semula. Setakat ini alhamdulillah. Allah permudahkan kerja aku. Aku berdoa kepadaNYA agar sentiasa dipermudahkan urusanku. Tapi aku redha jika ada masalah atau musibah kerana aku yakin segalanya ada sebab dan hikmah.

     Satu lagi aku rasa tak rugi dengan hobi aku. Aku suka membaca buku2 motivasi termasuk biografi tokoh2. Banyak pengalaman dan nasihat2 yang baik untuk dipraktikkan . Dalam bacaan aku tu, terutamanya dalam buku biografi tokoh, pengalaman mereka sebelum menjadi seorang yang cemerlang sangat mengujakan aku. Rasanya tak ada sebesar kuman dapat aku menyaingi kesusahan yang telah mereka tempuhi. Ketabahan dan kecekalan mereka tak mungkin dapat aku lakukan. Tapi sekurang2nya aku dapat menjadikan mereka icon dan juga meredakan stress yang aku hadapi dengan tugasan aku.

    Aku cuba mengikuti beberapa perkara daripada pembacaan aku itu. Memang berkesan. Memanglah bukan senang nak senang tapi tiada erti kesenangan jika kita tidak pernah menempuh kesusahan. Kesenangan akan dipandang remeh jika terlalu mudah diperolehi tanpa sebarang daya usaha. Malah ada segelintir yang tidak menghargai kesenangan mereka.  Alpa dengan kenikmatan sepanjang hidup tanpa sebarang kesukaran dilalui. Tetapi tidak mengejutkan ada pula yang mengatakan kekosongan dalam jiwa mereka walaupun dikelilingi kemewahan. Mungkin ini kerana mereka selama ini sentiasa mudah mendapat segalanya. Sebut apa saja yang dimahukan, pasti akan tersedia.

    Kepada anak2ku, maafkanlah ibu kerana tidak dapat memberi kemewahan yang sepatutnya kalian dapat. Tapi kasih sayangku sentiasa melimpah ruah untuk kalian. Semoga dengan ilmu yang kalian perolehi walau dari mana atau dari siapapun, jadikan itu panduan untuk menghadapi kehidupan yang sentiasa mencabar ini. InsyaAllah tiada kesukaran yang terlalu rumit dirungkaikan. Kesusahan itu perlu kerana dari situ kalian dapat mengenal kesenangan dan menghargainya. Paling utama berusahalah sedaya mungkin dan sentiasalah ingat bahawa Allah lebih suka kepada orang yang berusaha dan benci kepada orang yang suka meminta-minta.#

    

Ahad, 7 Oktober 2012

Sifat Malu: Positif Atau Negatif

Kalau nak bercakap bab malu, rasanya semua orang dah arif. Bahkan itulah sifat yang boleh aku katakan 90% tebal menyesak dalam hati aku dan tidak keterlaluan juga aku rasa berakar umbi dalam diri orang lain. Kenapa aku kata sedemikian? Sebab buktinya jelas. Sumbangan sifat malu itu pun bukan sedikit. Menyumbang ke arah membantutkan kemajuan diri individu. Aku juga tidak ketinggalan  memperoleh dananya. Sebab itu aku terpelosok di sini saja. Walaupun jiwa aku sudah lama ingin keluar jauh menjelajah ke seluruh antero dunia.

Dari sudut agama, malu kepada Maha Pencipta yakni Allah swt adalah satu kewajipan. Jika manusia tidak punya sifat ini terhadap Yang Maha Esa, siapalah dia untuk berdiri di mukabumi ini. Dunia ini ciptaanNya. MilikNya. DIA yang punya hak untuk berbuat apa saja ke atas ciptaanNya termasuk diri kita sendiri. Siapa kita?  Siapa yang memberi hak kepada kita untuk berasa gah di alam fana ini? Walau punya segala kemewahan. Hatta punya nama yang sejagat menyebut ulang. Malulah sedikit kerana yang kita punya itu semuanya hak Allah swt. Semua itu hanya 'loan' semasa hayat yang diberi sekelumit waktu ini. Dan jangan pula alpa, bila buat 'loan', mesti ada tuntutan melunasinya. Bukan percuma. Dengan apa? Dengan menyerah diri kembali kepada DIA yakni Allah swt. Semuanya. Seratus peratus. Mahal sangat tu. Mana ada bank segitu bayaran baliknya. Ya...itu bank tapi ini Yang Maha Berkuasa. Yang Maha Agung. Tiada kompromi. Bayaran balik itu WAJIB. Qot'i.

'Loan' dengan Allah? Bayaran balik? Seratus peratus? Hah...kalau dilihat persoalan ini, mahu hilang akal dibuatnya. Apa yang manusia ada? Bukankah semuanya hak Allah swt termasuk diri kita ini. Habis...macam mana? Tak dapatlah kita nak bayar. Nak buat 'overlap' boleh ke? Kat mana?  Dengan siapa kita nak berurusan?

Inilah sebabnya kita kena MALU kepada Allah swt. Jangan teropong jauh sangat. Pandang diri kita sendiri sahaja sudah sepatutnya cukup membuat kita malu kepadaNya. Terlalu kerdil kita ini. Ingat, kita dilahirkan hanya dengan sekujur tubuh yang kosong. Tanpa seurat benang menyaluti. Tanpa sebarang material. Terlalu dhaif daripada sesiapa pun di dunia ini. Hatta dibandingkan dengan si papa kedana sekalipun.

Mudah saja untuk membayar balik jika kita memang berniat melakukannya. Tunaikan segala yang disuruh dan tinggalkan segala yang dilarang. Apa saja hukum yang diwajibkan kita laksanakan dengan tanpa rasa terpaksa. Lalu kita sempurnakan dan cantikkan dengan amalan sunat. Jangan buat apa yang ditegah. Seboleh-bolehnya jangan sesekali cuba menghampirinya walaupun sekadar ingin melihat-lihat. Buktikan ketaatan kita dengan mematuhi suruhan dan laranganNya. Itu sudah cukup sebagai menginsafi bahawa kita hanya sekadar sebagai peminjam dan hamba yang sedar diri. Semoga kita sentiasa dilindungiNya daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar serta sentiasa kekal melaksanakan amal kebaikan.

Di sebalik sifat malu di atas yang sepatutnya ada dalam diri setiap manusia, yang satu ni pulak tak sepatutnya dibiarkan wujud. Orang kita memang dah terkenal dengan sifat pemalu.  Malah bangga bercerita kepada orang lain kalau anak-anak kita pemalu orangnya. Tapi yang ni okey lagi. Nak jaga adab tertib di samping nak jaga nama baik keluarga. Eloklah dipupuk dan diamalkan. Tak sedapnya bila malu nak buat sesuatu yang baik hingga orang lain mengambil peluang yang sepatutnya kita dapat. Dah tu dengki pulak bila nampak orang tu berjaya.

Paling tak sedapnya, aku sendiripun ada sifat buruk yang satu ni. Dah  lama aku sedar. Tapi kadang-kadang ada rasa nak kikis perasaan tu bila sesekali dapat motivasi. Bukan main berkobar-kobar nak buat itu nak buat ini. Sehari dua lepas tu, mula fikir. Kalau buat macam tu, nanti apa orang kata. Kalau tak boleh buat atau tak berjaya, lagi malu. Tak payahlah. Setakat itu sajalah. Tak bergerak ke manapun. Akhirnya orang lain yang dapat. Orang lain lebih berani. Orang lain juga yang berjaya. Aku...teruslah begini. Tercatuk macam tunggul kayu yang ditimbus debu. Reput.

Satu persoalan; Apakah aku ini mewakili bangsa aku? Sebab aku macam perasan bangsaku keciciran dalam segala aspek. Takut gagal. Malu nak mencuba. Malu nak buat sesuatu yang lain daripada biasa. Tidak dinafikan ada yang berjaya dalam kalangan bangsa aku ni. Segelintir. Banyak mana tu? Nak kira guna calculator atau nak bilang dengan jari saja? Apa-apapun syabas kepada mereka yang dah boleh digelar insan cemerlang. Aku yakin mereka sudah mampu mengikis sifat malu yang negatif tu. Dan dengan yakin serta berani melakukan sesuatu yang luar biasa. Maka tak usahlah kita nak iri hati pulak dengan kejayaan mereka. Lebih baik kita berusaha mengikis sifat malu tu dulu. Cuba buat yang lain dari kebiasaan kita.  Yakinlah "Man Jadda Wajada". Siapa berusaha dia dapat. Kita cuba sama-sama, ya.

Jumpa lagi....




Sabtu, 6 Oktober 2012

Pernahkah anda berasa benar2 gembira? Bila???

Soalan ini membuat aku terkenang kembali kepada seorang lecturer aku semasa di kolej. Masih dalam minggu orientasi. Itulah pertanyaan beliau kepada kami yang pada masa itu seperti dalam keadaan kebingungan. Sudahlah baru tiga hari kami di kolej tersebut. Berbagai aktiviti terpaksa kami ikuti. Wajib. Kalau tak ikut, pasti akan didenda oleh kakak2 dan abang2 senior. Denda yang berbentuk keanak-anakan. Menyakitkan hati. Kami memang diperlakukan seperti anak hingusan. Walhal, kami rata2nya berumur lingkungan 20an.

Gembira? Aduh...soalan itu seperti buluh runcing menikam hati aku. Sesuai ke soalan itu dilontarkan di kala kami diperlakukan sebegitu gila. Kami berpandangan sesama sendiri. Di antara kami tiada seorang pun yang saling mengenali. Semuanya dari negeri berlainan. Dahi kami berkerut. Perkataan paling mudah. Tetapi waktu itu kami bagai tidak dapat memikirkan maksud soalan tersebut. Dalam hati, tak ada soalan lain ke lecturer ni? Aku lihat lecturer tu tersenyum sumbing. Apakah yang difikirkannya tentang kami? Ah, lantaklah dia nak fikir apa.

Seorang demi seorang memberikan jawapan. Ada yang kata gembira bila dapat masuk IPT ini. Yang lain pulak rasa gembira dapat kawan baru. Macam2. Lecturer tersebut tersenyum sahaja sepanjang kami bergilir memberikan jawapan. Jawapan aku sendiri pun lebihkurang dengan orang lain. Gembira sebab dapat jadi student di kolej tersebut. Sebenarnya aku malas nak fikir sangat. Otak aku terlalu penat dengan suara2 bentakan senior2 sejak hari pertama aku sampai. Semuanya mesti pantas. Setiap kali pergi ke mana2 mesti dalam barisan. Tak percaya aku dengan apa yang sedang berlaku. Beginikah cara kami diraikan kerana berjaya masuk ke kolej? Beginikah adab menyambut tetamu? Berbagai soalan bertubi-tubi dalam kepala aku. Bencinya. Rasa nak lari balik saja. Menyesalnya. Tak payah masuk IPTlah kalau macam ni. Tak dapat degree pun tak apa. Diperbodohkan sebegini rupa. Dalam hati, nantilah kalau aku jadi senior pulak. Lagi teruk aku buat kat freshie nanti.

Bila dah habis semua menjawab, lecturer tu memberi komen terhadap jawapan kami. "Kenapalah susah sangat nak jawab. Saya mudah saja. Saya gembira bila saya lulus periksa," katanya sambil tersenyum. Betul juga. Dalam hati aku. Memang tak ada seorang pun yang memberi jawapan itu. Sama ada tak terfikir atau cuba memberi jawapan yang akan nampak hebat. Tetapi apa sebenarnya yang mahu disampaikan oleh lecturer tersebut? Pasti ada sesuatu yang tersirat. Aku tak dapat berfikir mencari jawapannya.

Anda bagaimana? Bolehkah anda memberikan jawapan? Jawapan yang tepat kepada soalan tersebut. Tanyalah diri anda. Atau mungkinkah anda belum menempuh detik itu?