Assalamualaikum...

Terima kasih kerana sudi berkongsi coretan saya di halaman ini.

Ahad, 7 Oktober 2012

Sifat Malu: Positif Atau Negatif

Kalau nak bercakap bab malu, rasanya semua orang dah arif. Bahkan itulah sifat yang boleh aku katakan 90% tebal menyesak dalam hati aku dan tidak keterlaluan juga aku rasa berakar umbi dalam diri orang lain. Kenapa aku kata sedemikian? Sebab buktinya jelas. Sumbangan sifat malu itu pun bukan sedikit. Menyumbang ke arah membantutkan kemajuan diri individu. Aku juga tidak ketinggalan  memperoleh dananya. Sebab itu aku terpelosok di sini saja. Walaupun jiwa aku sudah lama ingin keluar jauh menjelajah ke seluruh antero dunia.

Dari sudut agama, malu kepada Maha Pencipta yakni Allah swt adalah satu kewajipan. Jika manusia tidak punya sifat ini terhadap Yang Maha Esa, siapalah dia untuk berdiri di mukabumi ini. Dunia ini ciptaanNya. MilikNya. DIA yang punya hak untuk berbuat apa saja ke atas ciptaanNya termasuk diri kita sendiri. Siapa kita?  Siapa yang memberi hak kepada kita untuk berasa gah di alam fana ini? Walau punya segala kemewahan. Hatta punya nama yang sejagat menyebut ulang. Malulah sedikit kerana yang kita punya itu semuanya hak Allah swt. Semua itu hanya 'loan' semasa hayat yang diberi sekelumit waktu ini. Dan jangan pula alpa, bila buat 'loan', mesti ada tuntutan melunasinya. Bukan percuma. Dengan apa? Dengan menyerah diri kembali kepada DIA yakni Allah swt. Semuanya. Seratus peratus. Mahal sangat tu. Mana ada bank segitu bayaran baliknya. Ya...itu bank tapi ini Yang Maha Berkuasa. Yang Maha Agung. Tiada kompromi. Bayaran balik itu WAJIB. Qot'i.

'Loan' dengan Allah? Bayaran balik? Seratus peratus? Hah...kalau dilihat persoalan ini, mahu hilang akal dibuatnya. Apa yang manusia ada? Bukankah semuanya hak Allah swt termasuk diri kita ini. Habis...macam mana? Tak dapatlah kita nak bayar. Nak buat 'overlap' boleh ke? Kat mana?  Dengan siapa kita nak berurusan?

Inilah sebabnya kita kena MALU kepada Allah swt. Jangan teropong jauh sangat. Pandang diri kita sendiri sahaja sudah sepatutnya cukup membuat kita malu kepadaNya. Terlalu kerdil kita ini. Ingat, kita dilahirkan hanya dengan sekujur tubuh yang kosong. Tanpa seurat benang menyaluti. Tanpa sebarang material. Terlalu dhaif daripada sesiapa pun di dunia ini. Hatta dibandingkan dengan si papa kedana sekalipun.

Mudah saja untuk membayar balik jika kita memang berniat melakukannya. Tunaikan segala yang disuruh dan tinggalkan segala yang dilarang. Apa saja hukum yang diwajibkan kita laksanakan dengan tanpa rasa terpaksa. Lalu kita sempurnakan dan cantikkan dengan amalan sunat. Jangan buat apa yang ditegah. Seboleh-bolehnya jangan sesekali cuba menghampirinya walaupun sekadar ingin melihat-lihat. Buktikan ketaatan kita dengan mematuhi suruhan dan laranganNya. Itu sudah cukup sebagai menginsafi bahawa kita hanya sekadar sebagai peminjam dan hamba yang sedar diri. Semoga kita sentiasa dilindungiNya daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar serta sentiasa kekal melaksanakan amal kebaikan.

Di sebalik sifat malu di atas yang sepatutnya ada dalam diri setiap manusia, yang satu ni pulak tak sepatutnya dibiarkan wujud. Orang kita memang dah terkenal dengan sifat pemalu.  Malah bangga bercerita kepada orang lain kalau anak-anak kita pemalu orangnya. Tapi yang ni okey lagi. Nak jaga adab tertib di samping nak jaga nama baik keluarga. Eloklah dipupuk dan diamalkan. Tak sedapnya bila malu nak buat sesuatu yang baik hingga orang lain mengambil peluang yang sepatutnya kita dapat. Dah tu dengki pulak bila nampak orang tu berjaya.

Paling tak sedapnya, aku sendiripun ada sifat buruk yang satu ni. Dah  lama aku sedar. Tapi kadang-kadang ada rasa nak kikis perasaan tu bila sesekali dapat motivasi. Bukan main berkobar-kobar nak buat itu nak buat ini. Sehari dua lepas tu, mula fikir. Kalau buat macam tu, nanti apa orang kata. Kalau tak boleh buat atau tak berjaya, lagi malu. Tak payahlah. Setakat itu sajalah. Tak bergerak ke manapun. Akhirnya orang lain yang dapat. Orang lain lebih berani. Orang lain juga yang berjaya. Aku...teruslah begini. Tercatuk macam tunggul kayu yang ditimbus debu. Reput.

Satu persoalan; Apakah aku ini mewakili bangsa aku? Sebab aku macam perasan bangsaku keciciran dalam segala aspek. Takut gagal. Malu nak mencuba. Malu nak buat sesuatu yang lain daripada biasa. Tidak dinafikan ada yang berjaya dalam kalangan bangsa aku ni. Segelintir. Banyak mana tu? Nak kira guna calculator atau nak bilang dengan jari saja? Apa-apapun syabas kepada mereka yang dah boleh digelar insan cemerlang. Aku yakin mereka sudah mampu mengikis sifat malu yang negatif tu. Dan dengan yakin serta berani melakukan sesuatu yang luar biasa. Maka tak usahlah kita nak iri hati pulak dengan kejayaan mereka. Lebih baik kita berusaha mengikis sifat malu tu dulu. Cuba buat yang lain dari kebiasaan kita.  Yakinlah "Man Jadda Wajada". Siapa berusaha dia dapat. Kita cuba sama-sama, ya.

Jumpa lagi....




Tiada ulasan:

Catat Ulasan