Siapa tak sayang anak?
Soalan ini memang sudah biasa terdengar. Anak tu bukankah anugerah Tuhan. Justeru, apalah yang nak dikira sangat kalau fasal berhabis sedikit untuk anak. Bukan anak orang lain. Anak sendiri. Darah daging sendiri. Kalau tak berhabis untuk anak, untuk siapa lagi. Lagipun kita ada kemampuan. Duit sendiri. Bukan mintak dari orang lain. Maka melimpah ruahlah kemewahan berlonggok depan mata si anak. Apa saja kemahuan dituruti. Semua kehendak dipenuhi. Lalu membesarlah si anak dengan dikelilingi kemewahan.
Apa yang saya tuliskan di atas sememangnya berlaku di dunia nyata ini. Terutama di zaman serba mewah hari ini. Memang tak salah menyayangi anak. Tapi berpada-padalah. Jangan nanti tangan kita sendiri yang mengasuh mereka menjadi lupa diri. Leka dengan kemewahan yang merosakkan jiwa mereka. Biarlah sekali sekala kita ajar mereka dengan sedikit kesusahan kerana kita bimbang sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diduga secara tiba2, pasti mereka akan panik. Apatah lagi jika kita yang sentiasa menyelesaikan masalah ketika mereka ditimpa musibah. Ingat. Malang tidak berbau.
Tidak terlambat jika kita mahu mendidik mereka. Lakukan secara perlahan. Beransur-ansur. Tarik sedikit demi sedikit segala kemewahan yang telah diberikan. Jangan pulak terlalu ketara. Usah terlalu cepat memenuhi segala kehendak mereka. Bukan bermaksud menyekat atau tidak melayan langsung. Gunakan alasan yang munasabah kenapa kita tidak dapat menyediakan keperluan mereka secara segera.
Kita sendiri mesti kuatkan hati untuk melakukannya. Di peringkat awal, mungkin sukar bagi kita menyekat kemahuan mereka kerana kita tahu kita ada kemampuan untuk menyediakan kehendak mereka itu. Mungkin kita juga akan berasa kita ini kejam kepada anak sendiri. Tapi, didiklah hati kita dengan mengatakan apa yang dilakukan ini tidak lain kerana sayang kepada anak kita. Biarkan mereka berusaha sedikit demi sesuatu yang mereka kehendaki. Pasti mereka lebih menghargai dan menyayangi apa yang akan mereka miliki nanti.
...sayangkan anak tangan-tangankan.....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan